Tuesday, November 22, 2011

Petua Tanam Flokoli


ARKIB : 14/11/2011

Petua tanam flokoli


Flokoli boleh ditanam di pelbagai jenis tanah yang subur, gembur, mempunyai saliran baik dan kaya dengan bahan organik. Jenis tanah paling sesuai ialah bertekstur lom yang baik dalam membekalkan nutrien, air dan udara kepada akar tanaman, pH sesuai antara 5.0 hingga 6.5

Tanah perlu dibajak dan digembur sedalam 20 dan 30 sentimeter (sm) untuk memudahkan pertumbuhan akar.

Batas disediakan menggunakan jentera atau manual mengikut saiz disyorkan, lebar satu hingga 1.2 meter, tinggi 23 sm dan panjang mengikut kesesuaian tempat. Jarak antara batas ialah 0.6 meter.

Batas ditambak dengan bahan organik tahi ayam atau kompos antara satu hingga tiga kilogram semeter persegi.

Bahan ini digaulkan dalam tanah seminggu sebelum menanam bagi membekalkan zat makanan kepada pokok atau antara tiga hingga enam tan sehektar bagi tanah mineral

Semaian

Flokoli perlu disemai terlebih dahulu sebelum penanaman kerana memerlukan penjagaan rapi di awal pertumbuhan.

Semai biji benih dalam dulang semaian yang mempunyai 100-110 sel. Gunakan 'peat grow sebagai media percambahan atau campuran kompos dan peat grow.

Letak biji benih setiap sel di rumah semaian yang mempunyai kira-kira 50 peratus lindungan antara tiga hingga empat minggu dan siram setiap hari.

Anak semaian boleh disembur dengan baja foliar setiap minggu bagi menambah kesuburan dan pembesaran pokok.

Semaian boleh dibuat menggunakan polibeg hitam kecil atau kotak semaian dan diletak di tepi rumah jika tidak ada rumah semaian khas, pastikan mendapat cahaya matahari sekurangnya tiga jam sehari.

Penanaman

Anak benih sedia ditanam bila berumur tiga hingga empat minggu di kawasan struktur lindungan hujan atau terbuka.

Aktiviti mengubah sesuai dibuat petang kerana redup berbanding pagi.

Jarak tanaman sesuai ialah 60 sm antara barisan dan 60 sm antara pokok dan secara sistem tiga segi dan boleh mencapai kepadatan 16,000 pokok sehektar.

Pengairan

Flokoli memerlukan pengairan mencukupi semasa pertumbuhan pokok.

Siraman sekali sehari secara manual di pangkal pokok atau gunakan pengairan jenis renjis yang disyor terutama selepas mengubah dan di peringkat anak pokok masih muda.

Elakkan penyiraman pada pucuk semasa pengeluaran bunga.

Pembajaan

Baja disyorkan ialah 120 kg N:60 kg P2O5:60 kg K2O setiap hektar bergantung pada keadaan tanah.

Pembajaan dibuat seminggu selepas mengubah anak benih ke ladang, penggunaan baja organik 8:8:8: (20 gm/pokok) di selang dengan baja NPK biru 12:12:7 (30gm/pokok) disyorkan.

Ia ditabur keliling tanaman dengan jarak 15 hingga 20 sm dari rumpun tanaman dan dikambus bagi mengelak larut resap ke udara.

Pembajaan dibuat setiap minggu dan berterusan selama empat minggu.

Pengawalan rumpai

Rumpai dikawal menggunakan racun pracambah atau secara manual sama ada mencabut dengan tangan atau menggunakan cangkul atau tajak.

Sungkupan menggunakan agrosheet, rumput kering atau jerami padi digalakkan bagi mengawal rumpai dan membantu mengekalkan kelembapan dan suhu tanah.

Rumpai yang tumbuh antara lorong dikawal dengan racun rumpai sesuai, elakkan tempias semburan terkena tanaman menggunakan alat penyembur berteduh.

Kawalan perosak

Pelbagai jenis perosak dan penyakit menyerang tanaman flokoli dan bagi mengatasinya, kawalan secara integrasi merangkumi kaedah fizikal, mekanikal, kultura, biologi dan penggunaan racun.

Serangga perosak yang biasa menyerang ialah ulat plutella (Plutella xylostella) yang memakan daun di semua peringkat pertumbuhan dan meninggalkan lapisan lut sinar pada daun, ulat helula (Helulla undalis) memakan pucuk, tunas dan mengorek batang, kumbang kutu (Phyllotretta sinuate) memakan daun dan meninggalkan lubang halus padanya.

Penyakit biasa menyerang ialah reput lembut (Erwinia carotovora), bahagian yang diserang reput berair, berlendir dan berbau busuk, reput hitam (Xanthomonas campestris) menyebabkan lekuk di bahagian daun, batang dan akar menjadi hitam dan reput.

Kawasan perlu dijaga kebersihannya, tanaman yang diserang perlu dimusnahkan, kawasan jangan terlalu lembab dan jika serangan teruk sembur dengan racun sesuai.

Penuaian

Flokoli dikutip apabila bungkah berukuran 15 sm atau lebih dan 10 minggu selepas diubah ke ladang.

Kelewatan menuai menyebabkan bunga berpecah dan menjadi kuning. Anggaran hasil satu hektar ialah 9-15 tan.

Semasa penuaian beberapa helai daun pembalut ditinggalkan bagi setiap bunga bagi melindungi bunga flokoli rosak semasa pengendalian dan pengangkutan hasil.

Hasil tahan antara 3-5 hari tanpa penyejukan.

Apabila disimpan di tempat sejuk ia akan tahan hingga dua minggu.

No comments: