Thursday, October 27, 2011

Tahniah kepada Megat Marwan Megat Nizar, pemegang Pingat Emas Alumni

Megat Marwan Megat Nizar, merupakan pemegang Pingat Emas Alumni pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia ke-35. Beliau merupakan graduan Fakulti Pengajian Pendidikan dalam jurusan Bachelor Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling). Hasil temubual yang telah dijalankan diantara Persatuan Alumni UPM dan beliau, mendapati beliau sememangnya layak untuk memegang Pingat Emas Alumni tersebut. Ini kerana beliau merupakan seorang yang cemerlang dalam akademik dan juga aktif dalam aktiviti kokurikulum. Selain daripada bergraduat dengan kelas pertama, beliau juga merupakan Majlis Tertinggi Mahasiswa, Kolej Canselor. Di peringkat fakulti pula beliau aktif dalam Kelab Kaunseling. Diantara aktiviti kelab kaunseling berskala besar yang pernah beliau terlibat ialah program mobiliti pelajar di Australia pada tahun 2009. Selain daripada itu, banyak juga seminar dan program lain yang melibatkan pelbagai Universiti di Malaysia.


Menurut Megat Marwan, kejayaan yang dicapai sekarang bukanlah satu perjalanan yang mudah. Beliau menghadapi pelbagai cabaran, diantaranya ialah cabaran dalam melawan sikap malas dan bertangguh dalam diri sendiri. Beliau selalu berpegang pada konsep katak dan belalang. Diantara katak dan belalang, yang mana satukah yang paling geli untuk kita makan? Yang paling geli itulah sebenarnya yang perlu dimakan dahulu. Begitu juga keadaannya dengan tugasan kita seharian. Tugasan yang paling berat atau sukar itulah yang perlu dilakukan dahulu. Beliau mengamalkan membuat senarai semak (checklist) setiap hari dan memberi keutamaan pada tugasan-tugasan yang penting. Beliau sememangnya seorang yang bijak membahagikan masa antara akademik dan aktiviti kokurikulum. Beliau tidak suka membazirkan masa dengan melepak mahupun melakukan aktiviti yang tidak berfaedah. Beliau menggunakan masa yang ada dengan sebaik mungkin. Beliau berasa sedih melihat ramai dikalangan rakan-rakan yang lain yang membuang masa dengan melepak, dan sebagainya kerana baginya masa itu amat bermakna.


Menyentuh mengenai kerjaya, beliau kini merupakan pembantu penyelidik Prof. Madya Dr. Rusnani Abdul Kadir, Ketua Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling, UPM. Beliau mempunyai keinginan untuk menjadi pendidik dan juga ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat Master dalam jurusan bimbingan dan kaunseling di masa akan datang.


Pesanan beliau untuk mahasiswa mahasiswi UPM yang sedang belajar, kita perlu bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam kehidupan. Kejayaan itu tidak datang bergolek. Ianya bergantung pada diri kita sendiri untuk sentiasa sedar diri dan bersungguh-sungguh melawan sikap atau perasaan negatif seperti malas dan berlengah. Contohnya, lebih baik kita paksa diri kita untuk berhenti merokok daripada kita dipaksa berhenti merokok disebabkan sakit. Beliau selalu bergantung pada konsep tersebut. Kesimpulannya, apa jua keputusan adalah bergantung pada diri kita sendiri. Diharapkan mahasiswa yang lain dapat juga menaikkan lagi nama Universiti Putra Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

No comments: