Monday, September 19, 2011

Naib Canselor UPM Dianugerahkan ASIA’S Best B-SCHOOL Award


Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi telah dianugerahkan sebagai pemenang Asia’s Best B-School Awards kerana jasanya sebagai individu yang komited mempamerkan prestasi cemerlang dalam bidang pengajian perniagaan.

Beliau menerima anugerah dalam kategori Outstanding Contribution To Education dalam anugerah kali kedua itu yang berlangsung pada 22 Julai lalu di Suntec, Singapura dan dianjurkan oleh CMO Asia Advisory Board dengan kerjasama Advisory Coucil of World Brand Congress.

Terdapat 42 kategori anugerah merangkumi 12 bidang utama dalam pengajian perniagaan telah ditawarkan kali ini. Selain Malaysia, 28 buah negara yang mengambil bahagian ialah Australia, Armenia, Amerika Syarikat, Bangladesh, China, England, France, Hong Kong, India, Indonesia, Israel, Jepun, Kuwait, Mauritius, Nepal, Oman, Pakistan, Filipina, Qatar, Arab-Saudi, Singapura, Afrika Selatan, Korea Selatan, Spain, Sri Lanka, Thailand dan UAE.

Asia’s Best B-School Awards merupakan anugerah keempat yang diterima oleh Dato’ Ir. Dr. Radin Umar di peringkat antarabangsa selepas Prince Michel Award (UK, 2005), Highly Commendation Road Safety BP Awards (UK, 2002) dan Katahira Young Engineers Awards (Jepun, 2000).

Keratan akhbar Sinar Harian, Isnin 19 Sep 2011



Thursday, September 15, 2011

Jadikan keusahawanan dan pertanian peluang pekerjaan baharu – Noh Omar



SERDANG, 9 Sept - Graduan institut pengajian tinggi (IPT) disaran mengenepikan sikap suka bekerja ‘makan gaji’ sebaliknya menjadikan bidang keusahawan terutama sektor industri kecil dan sederhana (IKS) sebagai peluang pekerjaan baharu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata bekerja sendiri dan memiliki perniagaan adalah satu opsyen kerjaya yang wajar diceburi untuk pelajar yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan di peringkat menara gading.

“Keusahawanan merupakan bidang kerjaya yang sangat penting di negara ini. Kerajaan menjadikan bidang keusahawanan terutama sektor IKS sebagai penyumbang kepada perkembangan ekonomi pada masa akan datang.

“Saya percaya UPM juga mempunyai pelbagai rancangan dan pelan tindakan yang akan menjayakan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar. Matlamat program keusahawanan universiti adalah untuk membentuk pelajar sebagai pencipta kerjaya dan bukan sekadar pencari kerja.

“Anda harus merebut peluang dengan menyertai sebanyak mungkin program keusahawanan yang dianjurkan oleh universiti,” katanya ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Menteri Sempena Minggu Perkasa Putra Pelajar Baharu Semester Pertama Sesi 2011/2012 baru-baru ini.

Pada majlis itu, Noh turut menggalakkan supaya graduan menjadikan bidang pertanian sebagai sebahagian daripada kerjaya kerana ia mampu menawarkan pelbagai peluang perniagaan yang menguntungkan.



Menurutnya, untuk menggalakkan graduan menceburi sektor pertanian moden kelab MyAgrosis akan diwujudkan di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) termasuk di UPM.

"Melalui MyAgrosis, pelajar diberikan latihan dan pendedahan menyeluruh mengenai penanaman, penternakan dan pemprosesan makanan menggunakan teknologi moden dan terkini serta kaedah pemasaran.

"Pendedahan ini penting bagi siswazah untuk memilih dan mengusahakan sektor pertanian sebagai kerjaya yang menguntungkan selepas mereka menamatkan pengajian nanti," katanya.
Beliau berkata kementeriannya sedang mengenal pasti kawasan di IPTA bagi memulakan program tersebut secara sistematik dan berskala besar.

Menurut Noh bagi menjayakan program itu satu perjanjian persefahanam akan ditandatangani bersama Kementerian Pengajian Tinggi pada Disember nanti.
Tambahnya lagi, Agrobank juga bersetuju untuk menyediakan dana sebanyak RM10 juta bagi menjayakan MyAgrosis.

UCAPAN TAKZIAH



Allahyarham Kamarul bin Zaini
Warga Bahagian Keselamatan merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Encik Kamarul bin Zaini, Pengawal Keselamatan UPM yang telah kembali ke rahmatullah pada 15 September 2011, jam 9.20 pagi di Hospital Serdang akibat kemalangan jalan raya di selekoh jejambat ERL berhampiran MTDC (Jalan Stadium) ketika sedang bertugas. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.

Al-Fatihah.